Back To Halal News

Apr 17, 2026 10AM

Konflik keluarga akibat harta: sepencarian, hibah dan faraid perlu dirancang awal

author

NADIA AZAM

Isu pertikaian harta sepencarian yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat berpunca daripada kegagalan memahami asas agama serta prosedur pengurusan harta secara menyeluruh, tegas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah dan Pemasaran Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Ustaz Bukhari Safian.


Beliau menjelaskan, masih ramai pasangan tidak memahami sempadan sebenar antara harta yang boleh dituntut dan yang tidak terutama apabila berlaku perceraian atau kematian pasangan.


Menurutnya, dalam konteks pengurusan harta semasa hidup terdapat dua syarat utama sebelum sesuatu harta boleh diklasifikasikan sebagai harta sepencarian.


“Harta sepencarian ni ada dua tiang, senang nak faham, dua perkara asas yang menentukan sama ada sesuatu harta itu boleh dikira sebagai harta sepencarian atau tidak.


“Yang pertama, harta itu mesti datang selepas kahwin, contohnya rumah, kereta atau tanah yang dibeli selepas akad nikah.


“Yang kedua, mesti ada unsur maju bersama, sama ada sumbangan kewangan atau usaha bersama dalam membangunkan harta tersebut,” katanya.


Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah dan Pemasaran Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Ustaz Bukhari Safian


Bukan semua harta layak dituntut


Tambah beliau, kegagalan memenuhi salah satu daripada dua syarat itu akan menyebabkan harta tersebut tidak layak dituntut sebagai harta sepencarian.


Bagaimanapun, katanya, tidak semua harta dalam rumah tangga boleh dikategorikan sebagai harta sepencarian.


“Harta bawaan adalah harta milik suami sebelum perkahwinan manakala harta dapatan adalah harta milik isteri sebelum perkahwinan.


“Harta bawaan dan harta dapatan tidak boleh dituntut oleh pasangan kerana tidak memenuhi dua tiang yang ditetapkan,” katanya.


Penentuan melalui proses mahkamah


Bukhari menjelaskan, penentuan harta sepencarian tidak boleh dibuat secara sendiri oleh pasangan, sebaliknya perlu melalui proses undang-undang.


Menurut beliau, hanya mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menilai dan memutuskan status sesuatu harta berdasarkan bukti sumbangan serta kronologi pemilikan.


Mengulas soalan penonton, beliau menjelaskan status nusyuz (derhaka) tidak menggugurkan hak seseorang terhadap tuntutan harta sepencarian.


Namun, katanya, keputusan akhir tetap bergantung kepada pertimbangan hakim berdasarkan bukti dan situasi kes.


“Tak perlu tunggu suami mati. Jika perkahwinan itu sah, isteri boleh tuntut haknya di mahkamah,” katanya.



Pengurusan harta tidak terhenti pada sepencarian


Namun, beliau menegaskan pengurusan harta dalam Islam tidak hanya terbatas pada harta sepencarian semata-mata, sebaliknya berterusan kepada perancangan semasa hidup melalui hibah dan pembahagian selepas kematian menerusi faraid.


Beliau berkata, kefahaman terhadap harta sepencarian hanyalah sebahagian daripada pengurusan harta keluarga, kerana konflik sebenar sering menjadi lebih kompleks selepas berlakunya kematian jika tiada perancangan awal dibuat.


Kegagalan merancang pengurusan harta melalui instrumen seperti hibah dan faraid dikenal pasti sebagai antara punca utama berlakunya konflik keluarga selepas kematian.


Menurut beliau, masyarakat masih berada dalam zon selesa dan hanya mula memikirkan soal pembahagian harta apabila berlaku kematian, sedangkan Islam telah menyediakan garis panduan yang jelas.


“Bukan nak menakutkan, tetapi kita anggap berada di zon selesa. Apabila berlaku kematian, barulah semua orang tergesa-gesa nak cari jalan penyelesaian,” katanya.


Hibah dan faraid lengkapkan sistem pengurusan harta


Beliau menjelaskan, faraid merupakan ketetapan Allah yang menentukan pembahagian harta kepada waris yang berhak, manakala hibah pula berfungsi sebagai instrumen perancangan semasa hidup bagi mengelakkan pertikaian.


“Dalam al-Quran, Allah sudah jamin harta selepas mati akan diwarisi oleh waris-waris yang berhak. Kita tak boleh kawal lagi pada waktu itu,” katanya.


Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa hibah tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya tanpa memahami syarat dan implikasi undang-undang.


“Nak hibah sesuka hati, nak bagi kepada anak tertentu sahaja, semua itu ada rules dalam Islam. Sebab itu penting untuk belajar dan faham,” katanya.


Tambah beliau, sekiranya tiada sebarang perancangan dibuat, pembahagian harta akan kembali kepada hukum faraid secara automatik.


“Apabila kita mati, harta itu bukan lagi di bawah kawalan kita. Ia akan ikut sistem faraid yang telah ditetapkan,” katanya.


Beliau turut mengingatkan bahawa nilai harta bukan faktor utama tercetusnya konflik, sebaliknya sikap dan kegagalan memahami hukum menjadi punca sebenar.


“Saya pernah jumpa kes, RM1,000 pun boleh bergaduh. Jadi bukan soal banyak atau sikit, tetapi soal kefahaman dan sikap,” katanya.


Layari www.mains.gov.my atau hubungi Talian 0137743662 bagi urusan wakaf dan mal (pengurusan harta orang Islam) atau boleh datang ke kaunter perkhidmatan MAINS di setiap daerah dan cawangan seluruh Negeri Sembilan.


Waktu Solat
Waktu Solat
mosque
mosque

17 Apr 2026

Waktu solat berikutnya,

Asr

pada

16:27

mosque
imsak

Imsak

05:48:00

fajr

Fajr

05:58:00

syuruk

Syuruk

07:06:00

dhuhr

Dhuhr

13:16:00

asr

Asr

16:27:00

maghrib

Maghrib

19:21:00

isha

Isha

20:31:00

mosque

Channel Partners

malaysiakinikiniTV

Strategic Partners

pibbhiphip

Media Partner for

WitexHei 2023Hei 2023Malaysia Showcase